Rafizi kecewa tiada pemilihan semula di Julau

PETALING JAYA: Calom timbalan presiden PKR Rafizi Ramli kecewa dengan keputusan parti untuk tidak mengadakan pemilihan semula di Julau, Sarawak.

Beliau berkata kenyataan jawatankuasa pemilihan pusat (JPP) yang berkata kejadian tablet dicerobohi dan sistem e-undi digodam di Julau tidak mempunyai kesan kepada kewibawaan data adalah tidak masuk akal.

“Ia kenyataan yang 100% bertentangan dengan kenyataan awal yang dikeluarkan oleh JPP sendiri.

“Kenyataan dan keputusan yang bertukar-tukar ini menyebabkan ahli parti semakin hilang keyakinan dengan kredibiliti keseluruhan proses pemilihan dan keputusannya,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

JPP pada Ahad mendakwa sistem e-undi di pusat mengundi di Julau gagal berfungsi kerana perbuatan terancang pihak tidak bertanggungjawab.

Pengerusi Datuk Rashid Din berkata perisian yang “menyerang” sistem dan 7 tablet e-undi sama seperti yang digunakan JPP pada pemilihan ini tetapi jenama berbeza.

Pada hari sama, seorang pegawai JPP ditangkap atas dakwaan melakukan “serangan siber” terhadap sistem e-undi di Julau tetapi kemudian dibebaskan daripada tahanan polis.

Rafizi berkata dia menerima keputusan parti mengenai status pemilihan di Julau tetapi menyeru pengendalian pemilihan parti perlu dibuat secara telus supaya ahli-ahli parti boleh menerima keputusan sepenuhnya.

Beliau berkata kontroversi mengenai keahlian di bahagian Julau dijadikan bahan mainan politik sehingga mencemarkan nama baik parti.

“Sedang fakta-faktanya telah dipersetujui berkali-kali di dalam Biro Politik dan turut melibatkan kehadiran JPP sendiri.

“JPP sendiri telah menyemak borang-borang keanggotaan dari bahagian Julau dan mendapati setakat semakan (1 dari 3 kotak borang keahlian), lebih 6,000 permohonan dari 13,000 permohonan mempunyai borang yang sah,” katanya.

Rafizi berkata keputusan JPP dilihat tidak adil kepada beliau, rakan-rakan lain dan seluruh ahli parti.

Beliau berkata JPP tidak boleh mencuci tangan mengenai masalah data termasuk data yang hilang dengan banyak di bahagian Pensiangan dan perlu menyelesaikannya dengan segera.

 

Rafizi kalah sebab tak mobilisasi pengundi Julau, kata pengerusi

PETALING JAYA: Jawatankuasa pemilihan pusat PKR (JPP) menepis sebarang dakwaan mengatakan calon timbalan presiden Rafizi Ramli tewas di Julau, Sarawak kerana sistem e-undi digodam.

Pengerusi Datuk Rashid Din berkata calon popular itu yang sedang bersaing rapat dengan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tewas kerana tidak memobilisasi pengundi.

Beliau juga menepis dakwaan mengatakan JPP membuat kenyataan bertentangan berhubung kes godam sistem e-undi, selepas Rafizi kecewa pemilihan di Julau tidak diadakan semula.

“Kenyataan pertama JPP berdasarkan maklumat ketika itu. Selepas siasatan, kita keluarkan kenyataan berdasarkan maklumat terkini. Kenyataan itu tak ada pun sebut perkara bukan-bukan,” katanya.

JPP hari ini membuat keputusan pemilihan bahagian Julau tidak akan diadakan semula susulan kes “serangan siber” ke atas sistem e-undi baru-baru ini.

Rashid berkata hasil pemilihan di Julau dikekalkan selepas mendengar penjelasan daripada unit operasi dan unit teknologi maklumat parti.

Beliau berkata siasatan terhadap pemilihan di Julau mengambil masa 2 hari.

“Kita ambil keputusan dengan lihat semua sisi dan bila kalah tidak bolehlah suruh buat pemilihan semula,” katanya.

Spread the love
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •